Halaman Utama

Sunday, December 5, 2010

Ayat Tunggal dan Ayat Majmuk



  

Ayat Tunggal

1. Ayat tunggal terdiri daripada satu subjek dan satu predikat.

2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat selapis.

Contoh : Lelaki gemuk itu \ sedang menembak burung.

            Subjek    =  Lelaki gemuk itu

            Predikat  =  sedang menembak burung.

Ayat Majmuk

1. Ayat Majmuk ialah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.

2. Ayat ini juga dikenali sebagai ayat Selapis.

Contoh : A) Razak mengambil sebuah buku cerita. ( Ayat Tunggal )

            B) Razak membaca buku itu. ( Ayat Tunggal )

            C) Razak mengambil sebuah buku cerita lalu membaca buku itu.  ( Ayat Majmuk )

PEMAJMUKAN

Kata Majmuk

1. Dua atau lebih daripada dua patah dasar dapat digabungkan untuk membentuk satu kata baru yang padu atau sebati maknanya.

2.     Kata paduan atau sebatian yang demikian dikenal sebagai kata majmuk.

3.     Setiap kata yang menjadi komponen kata majmuk mempunyai maknanya sendiri-sendiri.

4.     Misalnya, wang dan saku yang menjadi komponen kata majmuk wang saku mempunyai maknanya masing-masing. Makna wang saku ialah wang dibawa untuk digunakan apabila diperlukan.

5.         Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama. Beberapa contohnya ialah cantik jelita, hancur lebur, dan sunyi sepi.

6.         Dua patah kata yang sama atau hampir sama maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan. Misalnya, cantik jelita bererti sangat cantik, hancur lebur bererti hancur sama sekali, dan sunyi sepi bererti sangat sunyi.

Bentuknya

7.         Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang.

8.         Dengan itu, dapatlah dibezakan bentuk kata majmuk daripada bentuk kata ganda yang dieja bersempang kecuali kata ganda separa seperti bebawang, jejari, kekuda, dan sebagainya.

9.            Beberapa contoh kata majmuk yang dieja tercantum ialah apabila, bumiputera, daripada, jurumudi, kadangkala, dan walaupun.

10.            Beberapa contoh kata majmuk yang dieja terpisah ialah air mata, buah pinggang, campur tangan, daun pintu, ganti rugi, dan hak cipta.

11.        Dari segi bentuknya, kata majmuk ter­bahagi kepada beberapa kelas seperti yang berikut:

(a) kata nama majmuk;

(b) kata bilangan majmuk;

(c) kata adjektif majmuk;

(d) kata kerja majmuk;

(e) kata sendi majmuk;

(f) kata keterangan majmuk;

(g) Kata hubung majmuk.

12 Sebahagian besar daripada kata majmuk dalam bahasa Melayu tergolong dalam kelas kata nama.

Contoh kata nama majmuk, antara yang lainlain, ialah air mata, buah mulut, cita rasa, daun telinga, ganti rugi, dan hak cipta.

13. Kata bilangan majmuk, antara yang lain-lain, ialah tiga puluh, dua pertiga, dan dua ratus lima puluh.

14.        Kata adjektif majmuk, antara yang lain-lain, ialah aman damai, buta huruf, cantik jelita, gagah perkasa, merah jambu, iri hati, dan kelam kabut.

15.        Kata kerja majmuk ada yang bebas, yakni tidak terikat pada sebarang imbuhan.

Contohnya: angkat kaki, buang air, campur tangan, datang bulan, dan gulung tikar.

16.        Kata kerja majmuk ada juga yang terikat. Contohnya: mengadu domba, mengambil alih, mengambil berat, menganggap sepi, mengangkat sembah, membalas budi, membanting tulang, mencari gali, bercerai susu, berdiam diri, menyalahgunakan, menembak mati, dan bertungkus lumus.

17 Kata sendi majmuk pula tidak seberapa jumlahnya, iaitu darihal, daripada, kepada, dan sedari.

18 Kata keterangan majmuk, antara yang lainlain, ialah acap kali, boleh jadi, demikian, kadangkala, lambat laun, pertama kali, sambil lalu, dan sekali sekala.

19 Kata hubung majmuk, antara yang lain-lain, ialah apabila, manakala, dan meskipun.

Tugasnya

20.        Kata majmuk mempunyai dua tugas seperti yang berikut:

           (a) menetapkan kelas kata dasar. Contohnya.


air (kata nama) + mata (kata nama)
air mata (kata nama)
lemah (kata adjektif) + lembut (kata adjektif)lemah lembut (kata adjektif)
mogok (kata kerja) + duduk (kata kerja)mogok duduk (kata kerja)
dari (kata sendi) + pada (kata sendi)daripada (kata sendi)

(b) mengubah kelas kata dasar. Contohnya:

apa (kata ganti tanya) + bila (kata keterangan tanya)apabila (kata nama)
alim (kata adjektif) + ulama (kata nama)alim utama (kata nama)
gulung (kata kerja) + tikar (kata nama)gulung tikar (kata kerja)
tumbuk (kata kerja) + rusuk (kata nama)tumbuk rusuk (kata nama)
cerdik (kata adjektif) + pandai (kata adjektif)cerdik pandai (kata nama)
lalu (kata kerja) + lintas (kata kerja)lalu lintas (kata nama)
banyak (kata adjektif) + mulut (kata nama)banyak mulut (kata adjektif)
lambat (kata adjektif) + laun (kata adjektif)lambat laun (kata keterangan)

Maknanya

21.        Dari segi maknanya, kata majmuk dapat dibahagi kepada dua jenis seperti yang berikut:

(a) kata majmuk wajar;  

(b) kata majmuk kiasan

22. Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya, yang maknanya dapat diketahui daripada makna katakata yang menjadi komponennya.

Misalnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur.

23.        Kata majmuk kiasan pula ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya.

Misalnya buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kenamengena dengan buah ataupun hati.

Makna buah hati ialah kekasih yang dicintai, bukan buah yang bernama hati.

24.        Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk wajar.


adat istiadat
alih bahasa
bahasa pasar
bakul sampah
batang hidung
cakera padat
cantik jelita
daya cipta
dengki hati
emas putih
esok hari
gagah berani
galah canggah
rendah hati
sabun mandi
sihat akal

gunung api
hancurlebur
harga borong
hitam manis
ikan parang
inti sari
isi perut
juling air
kaca mata
kerak bumi
otak depan
olah raga
pagar duri
pindah tangan
rabun jauh
tahan lasak

kongsi gelap
lampu duduk
lipat ganda
lubang hidung
mabuk taut
merah jambu
minyak makan
naik takhta
nenek moyang
orang gaji
tuan rumah
udang galah
uji kaji
wang saku
warta berita
zat air

24.        Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk kiasan.


akal kancil
anak angkat
anak baju
anak emas
anak kunci
batu loncatan
banyak mulut
buah mulut
bulan madu
cahaya mata
cakap angin
campur tangan
cekak musang
dapur susu
mata hari
naik darah
nyawa ikan
otak udang
tangan besi
timbang rasa

darah daging
datang bulan
daun pintu
emas kahwin
embun jantan
filem bisu
gaji buta
gantung kemudi
gatal mulut
gunung payung
habis akal
lalat hijau
lebar mulut
lemah semangat
lepas tangan
main angin
malam buta
sampai hati
tali barut
tanah air

hajat besar
harga diri
ibu ayam
isi hati
jalan bahasa
jauh hati
kaki tangan
karat hati
kata dua
kecil hati
kereta api
papas hati
panjang tangan
pasar gelap
patah hati
rendah hati
sagu hati
sakit hati
tumbuk rusuk

Thursday, December 2, 2010

Sang Kerbau, Sang Buaya dan Sang Kancil

Cerita ini bermula dengan seekor buaya yang sedang berjemur ditebing sungai dengan tiba-tiba telah terhimpit ditimpa batang pokok yang tumbang. Ia pun merintih dan meraung meminta pertolongan. Raungannya itu didengari oleh seekor kerbau yang sedang makan rumput ditebing sungai itu. Sang kerbau pun datang membantu sibuaya dengan penuh ikhlas dan penuh rasa kasihan. Setelah batang pokok itu diangkat keatas oleh sang kerbau, sang buaya pun terlepas dari himpitan dan dengan tiba-tiba ia terus menggigit kaki sang kerbau. Sang kerbau pun meraung meminta pertolongan dan merayu kepada sang buaya supaya beliau bersikap adil supaya tidak membahamnya kerena beliau telah pun membuat jasa. Pada masa yang sama ternampaklah mereka akan sebuah tudung saji buruk yang hanyut dibawa arus. Lalu mereka bertanyalah kepada tudung saji itu tentang samaada patutkah sikap sang buaya bersikap sedemikian. Tudung saji menjawab sang buaya memang patut berbuat sedemikian kerena berdasarkan pengalamannya dia telah dibuang kesungai oleh tuannya apabila keadaannya telah buruk dan telah digantikan dengan tudung saji yang baru. Semasa beliau masih baru dan cantik mereka meletakkan beliau ditempat-tempat yang mulia. Dia digunakan beberapa lama sehingga ia menjadi buruk dan rosak kemudiannya dibuang begitu sahaja. Bakti beliau untuk melindunigi makanan selama ini tidak lagi menjadi perhitungan oleh tuannya untuk mereka disimpan atau dimuliakan lagi. Oleh itu dia berpendapat adalah adil bagi sang buaya memakan sang kerbau kerena jasa atau budi lama yang lalu sememangnya selalu tidak perlu diambil kira. Tudung saji itu pun terus hanyut. Seketika kelihatan pula tikar buruk yang hanyut terapung dipermukaan air sungai itu. Lalu mereka pun bertanya seperti apa yang ditanyakan kepada tudung saji tadi. Tikar buruk itu menjawab dengan jawaban yang serupa seperti yang dijawab oleh tudung saji tadi dan dia pun terus hanyut meninggalkan mereka. Sang buaya pun berpuas hati dan mula menarik kerbau itu kedalam air. Tetapi entah macam mana sang kancil telah melewati ditempat kejadian itu dan sang kerbau pun meraung meminta pertolongan. Sebagai memenuhi permintaan sang kerbau untuk mendapatkan keadilan, sang kancil pun memohon pada sang buaya untuk melakunkan kembali kejadian itu dari mula. Sang buaya bersetuju dan batang pokok tadi pun diletakkan kembali diatas belakangnya. Sang kancil pun meminta sang kerbau berlalu dari situ dan sang buaya pun ditinggalkan mereka dalam keadaannya kesakitan dihimpit oleh batang pokok seperti keadaan mula-mula tadi. Sambil berjalan sebelum berpisah, sang kancil berpesan pada sang kerbau supaya dilain masa berhati-hati jika hendak memberi pertolongan.
Apa yang kita dapat dari intipati cerita ini adalah pengajaran mengenai beberapa perkara seperti berikut:-

•Jika kita hendak berbuat baik atau memberi pertolongan hendaklah kita kenal kepada orang yang kita beri pertolongan. Jangan terjadi seperti peribahasa " Bagai melepaskan anjing tersepit"

•Jika kita meminta nasihat atau pendapat mestilah kita berhati-hati dan memilih dari siapa yang kita memohon nasihat itu. Jangan dari orang yang sedang dalam emosi

•Jika kita dalam keadaan beremosi elakkan dari kita memberi nasihat kepada orang lain, kerena berkemungkinan nasihat kita itu tidak difikirkan dengan baik dan jujur dan boleh bercampur aduk dengan nafsu atau emosi kita ketika itu.

•Kita juga perlu hormat dan selalu mengenang budi orang yang telah berjasa kepada kita

•Sikap ego kita boleh membawa kita menjadi bodoh dan tertipu terutama oleh nafsu kita sendiri

•Jangan putus asa meminta nasihat dari berbagai pihak jika kita berada dalam kesusahan

•Jasa orang hendaklah selalu kita kenang dan jangan mudah lupa pada orang lama sebelum kita.

Wednesday, December 1, 2010

Pemotong Kayu Yang Jujur

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.
Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi.......
Pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.
Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya.... Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.....
Tiba-tiba... genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu tercebur kedalam sungai yg dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki... hendak terjun mencari takut disambar arus... meratap lah ia mengenangkan nasib...
Maka...bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut.... lalu turunlah ia bertanya... "wahai orang tua... kenapa bersedih hati"...
Dengan nada perasaan takut dan terkejut diperamati benar-benar, maka tahulah dia si pari-pari telah turun kebumi menyapakan....lalu diceritakan apa yang berlaku...
"Baiklah..akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam"... lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai.... selang beberapa minit timbul lah kembali si paripari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa.... Dengan sedih jawab situa "..bukan..ini bukan kepunyaan hamba...tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini"....
Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.
Maka apabila terpandang akan kapak itu...giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujuranya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.
Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.
Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat...

Tuesday, November 30, 2010

PENGAJARAN BACAAN AWAL

Pengajaran Bacaan Awal Bahasa Melayu Menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata Kepada Pelajar Pemulihan Khas Sekolah Menengah

Bila dikatakan ‘Sekolah Menengah’ bererti meliputi tingkatan satu hingga tingkatan enam dan ‘bacaan’ merupakan kemahiran yang terpenting, bukan sahaja terhadap kebolehan membaca itu sendiri, tetapi seterusnya untuk seluruh pembelajaran murid-murid itu. Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca ini merupakan sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang murid bukan saja pada masa persekolahan bahkan pada masa kehidupan dewasa murid-murid berkenaan.

Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadikan perkataan.

Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.

Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun, 1989).

Pandangan daripada mazhab-mazhab ini mencetuskan kepada kaedah pengajaran awal asas membaca yang pelbagai di Malaysia. Antara kaedah yang telah digunakan di Malaysia ialah kaedah campuran, Kaedah DBP, Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS), Kaedah Atan Long, Kaedah cerakin, kaedah eklektik, kaedah abjad, dan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) . Kaedah-kaedah yang digunakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh digunakan kepada murid-murid pemulihan khas.

Murid-murid pemulihan khas juga seorang individu dan anggota masyarakat. Jadi murid-murid ini juga memerlukan pendidikan asas termasuklah belajar membaca. Maka pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini (Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon, 1992). Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi masalah ini. Penulis amat berminat dengan Kaedah Gabungan Bunyi Kata yang dirasakan begitu istimewa untuk mengajar murid-murid pemulihan khas membaca di peringkat sekolah menengah.

2. Kaedah Gabungan Bunyi-kata (KGBK)
2.1. Latar belakang

Kaedah Gabungan Bunyi-kata ini diilhamkan oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak Harun yang dinyatakan melalui pembentangan kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, pada 8 hingga 10 Disember 1979. Beliau telah memperkenalkan kaedah ini sebagai cadangan untuk mengatasi masalah membaca banyak murid di sekolah rendah, terutama di sekolah kebangsaan yang tidak boleh membaca. Rentetan itu kertas kerja tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, jilid 24 bil. 7, Julai 1980.

Kaedah ini turut dijadikan salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam buku panduan am, kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1981. Seterusnya kaedah ini telah dijadikan asas untuk panduan guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun Satu untuk sekolah SRKJ Cina dan SRKJ Tamil pada Jun 1981. Namun begitu, kaedah ini tidak digunakan di sekolah kebangsaan untuk mengajar bacaan asas pada Tahun Satu. Selain itu juga, kaedah KGBK digunakan oleh tadika swasta di Bandar-bandar seluruh Malaysia dengan menggunakan buku ‘Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia, Mari Membaca’ yang diterbitkan oleh Fajar Bakti (Isahak Harun, 2004).

2.2. Asas Kaedah Gabungan Bunyi-Kata
Kaedah ini merupakan satu kaedah yang sistematik. Menurut Isahak Harun (2004) perlunya mengambil kira perkara-perkara berikut;

2.2.1: Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik . Hal ini menjelaskan
bahawa adanya hubungan yang rapat antara simbol atau huruf dan bunyinya. Hal
ini berbeza dengan sistem ejaan Bahasa Inggeris yang bercelaru.

2.2.2: Suku kata ejaan Bahasa Melayu adalah mudah dan jelas, jika dibandingkan dengan
bahasa-bahasa lain.

2.2.3: Murid-murid Melayu telah mempunyai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu
yang mencukupi untuk mereka belajar membaca dalam Bahasa Melayu. Begitu
juga dengan murid Cina dan India rakyat Malaysia yang sudah mempunyai
perbendaharaan kata Bahasa Melayu terutamanya diperingkat sekolah menengah.
Seterusnya hal ini menjelaskan bahawa tidak sesuai digunakan kaedah yang
digunakan mengajar bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris untuk mengajar bahasa
pertama yang berbeza.

Unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Susunan bahan-bahan adalah secara ‘developmental’, kumulatif dan sistematik. Hal ini memudahkan guru-guru mengajar dan memudahkan murid belajar membaca dan menulis. Pendekatan gabungan dan susunan bahan secara kumulatif tidak mungkin berlaku dalam pendekatan abjad/ fonik, pendekatan seluruh perkataan atau pendekatan eklektik yang digunakan pada masa ini.

Gabungan mengenal bunyi huruf dengan membina-dan-membaca perkataan dalam satu atau dua pelajaran, dan murid terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Hal ini yang membezakan KGBK dengan kaedah-kaedah lain yang berpegang kepada dua mazhab utama awal membaca. Selain itu, KGBK dibina atas keistimewaan ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan sistematik dan suku kata yang jelas. Di samping itu juga, pemilihan susunan abjad yang diajar telah dikenalpasti melalui kajian yang menyeluruh berdasarkan kepada yang mudah, dekat dengan kanak-kanak dan tidak mengelirukan.

2.3: Ciri-ciri

2.3.1: Murid-murid tidak perlu diajar semua abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu
sebelum mereka boleh diajar membaca.

2.3.2: Menggabungkan kemahiran bunyi beberapa abjad, suku kata dan membaca
perkataan/ frasa/ ayat bermakna dalam satu atau dua pelajaran.

2.3.3: Gabungan dibuat secara sistematik, dan tiap-tiap pelajaran berikutnya beransur-
ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.

2.3.4: Kad imbasan amat diperlukan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti
yang disarankan.

2.3.5: Untuk peneguhan kemahiran murid-murid membaca mereka perlu diberi bahan-
bahan bacaan yang berperingkat-peringkat supaya mereka dapat melatih membaca
sendiri. Bahan-bahan bacaan yang sesuai perlu disediakan untuk murid-murid
sentiasa dekat dengan membaca.

3. Cara Mengajar Menggunakan KGBK
Kaedah Gabungan Bunyi Kata menyenaraikan beberapan abjad vokal dan konsonan yang perlu diajar mengikut tertibnya. Huruf vokal yang mula-mula diajar ialah

‘a i u’
dan susunan konsonan berikut;

b k c s t m n g l j h y f w q v z


Untuk menjelaskan kaedah ini, Isahak Harun (1979) menggariskan beberapa langkah berikut;

i. Mulakan dengan memperkenalkan bunyi tiga huruf vokal a, i dan u. Dengan menggunakan kad imbasan. Buat latihan membunyikan huruf itu beberapa kali, selang seli.

ii. Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya b, dan k. dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih tubi beberapa kali supaya murid dapat menyebutkan bunyi tiap-tiap simbol itu dengan jelas.

iii. Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata.

ba bi bu
da di du
ka ki ku

seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna;

da da dada
ba ba baba
bu bu bubu
ku ku kuku

Ulang ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latih murid-murid membacanya:

dada baba
bubu baba
kuku baba



iv. Perkenalkan gabungan lain;

a da ada
a ku aku
ku da kuda
bu ku buku
bu ka buka

suruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas;

baba ada buku
baba ada kuda
baba ada bubu
baba buka buku

kemudian gantikan ‘baba’ dengan ‘aku’ dan ulang membacanya. Seterusnya baca ayat-ayat berikut;

kuda dia
kuda baba
kuda aku/ ku

Gantikan ‘kuda’ dengan ‘buku’, ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.

v. Perkenalkan gabungan bunyi lain seterusnya.

i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
da a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibun
kaki kuda

suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunaka berbagai-bagai perkataan yang dicipta;

ibu buku buku uda
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda


vi. Seterusnya, bolehlah pula diperkenalkan bunyi konsonan yang lain mengikut susunan yang telah ditetapkan. Galakkan murid-murid mengenal sendiri perkataan-perkataan baru dengan membuat latih tubi.

vii. Akhir sekali bolehlah diperkenalkan bunyi gugusan dalam ejaan bahasa Melayu seperti;

ng bising, datang, sayang
nga nganga, singa
sy, sya syarat , syarikat
gh (gha) nyanyi, nyaring, punya


Selain itu, prinsip yang perlu diingati ketika menggunakan kaedah ini adalah;

i. Memperkenalkan terlebih dahulu vokal dan konsonan yang kerap digunakan dalam ejaan Bahasa Melayu, kemudian baru perkenalkan yang kurang digunakan. Hal ini bermakna tidak perlu memperkenalkan huruf dan bunyi mengikut susunan biasa dalam abjad (a-z).

ii. Susunan nama-nama huruf dan cara menulis huruf besar boleh dibuat secara tidak langsung kemudian.

iii. Tidak perlu memisah-misahkan dengan jauh dan jelas antara langkah mengajar bunyi huruf, bunyi suku kata dan sebutan perkataan. Boleh digabungkan dalam satu pelajaran.

iv. Memerlukan latihan membunyikan dan memandang huruf, suku kata dan perkataan tertulis. Dengan itu penggunaan kad imbasan dan papan hitam amat diperlukan.

v. Kaedah ini juga cuba untuk mengurangkan penggunaan gambar kerana mengganggu tumpuan murid membunyi dan memandang lambing-lambang bunyi, suku kata dan perkataan dengan cepat. Hal ini bertujuan supaya murid-murid mendapat kemahiran-kemahiran asas untuk membaca sendiri perkataan-perkataan baru dan seterusnya bahan-bahan bacaan secara berperingkat-peringkat.

vi. Latihan dan ulangan yang munasabah dan beragam amatlah penting untuk mengukuhkan kemahiran.

vii. Latihan menulis bolehlah dilakukan selepas tiap-tiap latihan membaca. Latihan menulis berdasarkan perkataan-perkataan yang dibaca supaya boleh meneguhkan kemahiran membaca.
4. Mengajar Menggunakan Kaedah KGBK Murid Pemulihan Khas di Sekolah
Menengah

Murid pemulihan khas sekolah menengah berbeza dengan kanak-kanak yang mula-mula belajar membaca. Pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas telah berjaya mengenalpasti perbezaan tersebut. Penulis telah menggunakan dua orang murid pemulihan khas untuk mengajar membaca. Oleh itu, guru perlu menyedari bahawa murid-murid sekolah menengah adalah berbeza daripada segi pendedahan kepada membaca.

Biasanya murid-murid di sekolah menengah telah belajar membaca dan semestinya terdedah kepada kaedah-kaedah awal membaca yang lain. Antara yang dikenalpasti aspek yang telah dikuasai oleh murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah adalah;

i. Sudah mengenal abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu ( a – z) sama ada semua atau sebilangan sahaja.
ii. Sudah boleh menyebut nama-nama abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu.

iii. Sudah boleh menyebut bunyi abjad mudah dan biasa digunakan.
iv. Sudah boleh mengeja suku kata terbuka.
v. Sudah boleh membatang suku kata terbuka.

Didapati juga bahawa murid-murid yang tidak menguasai aspek-aspek di atas mempunyai masalah yang lain seperti terencat akal atau masalah-masalah kecacatan lain.

Aspek- aspek yang perlu disedari untuk mengajar membaca menggunakan KGBK di sekolah menengah adalah;

i. Murid akan mengeja suku kata atau perkataan yang dibaca dengan menyebut nama abjad. Guru perlulah membiasakan murid menyebut bunyi huruf bukannya nama abjad. Namun begitu, guru perlulah mengelakkan daripada terlalu banyak menegur murid dalam aspek ini dan lebih utama murid menguasai kemahiran. Dengan itu, guru boleh membiarkan sahaja murid membaca cara yang biasa kepada mereka.
ii. Murid akan terganggu dengan kaedah baru bagi mereka. Oleh itu, perlulah guru banyak menggunakan latih tubi untuk membiasakan mereka.
iii. Murid inginkan aktiviti menulis. Oleh itu, menulis boleh dijalankan untuk tujuan sebagai pengukuhan.
iv. Guru membantu membentuk perbendaharaan kata murid-murid kerana biasanya murid-murid pemulihan khas mempunyai perbendaharaan kata yang sedikit.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang guru ialah menjalankan ujian diagnostik yang bertujuan untuk mengetahui tahap pencapaian sebenar murid. Ujian diagnostik kaedah ini telah dibina oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak yang dibahagikan kepada 12 tahap. Tahap-tahap ini dibahagikan kepada tahap-tahap berdasarkan kepada penguasaan mengenal huruf, suku kata, perkataan dan frasa (rujuk lampiran A). Biasanya murid di sekolah menengah sudah menguasai beberapa tahap membaca. Setelah dikenalpasti tahap pencapaian barulah pengajaran sebenar dapat dlakukan.

5. Dapatan

5.1: Kekuatan
Penulis memilih KGBK kerana keistimewaan yang terdapat dalam kaedah ini yang dilihat dapat membantu murid-murid pemulihan khas untuk menguasai kemahiran membaca. Antara kekuatan dan keistimewaan kaedah ini adalah;

i. Sesuai dengan sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonik dan suku kata yang jelas.
ii. Murid-murid tidak terbeban dengan menghafal abjad.
iii. Susunan bahan secara developmental, kumulatif dan sisitematik memudahkan guru mengajar dan murid belajar.
iv. Menarik minat dan tidak menjemukan kerana murid belajar bunyi huruf, suku kata, perkataan dan frasa dalam satu pelajaran.
v. Murid-murid tidak perlu mengeja dan membatang.
vi. Tidak memerlukan bahan Bantu mengajar yang banyak dan tidak susah untuk dibina. Bahan Bantu mengajar utama ialah kad imbasan dan papan hitam.
vii. Sesuai dengan murid pemulihan khas kerana tidak memerlukan hafalan.
viii. Menekankan aspek bahasa berirama yang menarik minat murid-murid.
ix. Boleh disesuaikan dengan lain-lain kaedah seperti kaedah bercerita.
x. Penggunaan ICT boleh digunakan dengan meluas dalam mengajar menggunakan kaedah ini.
xi. Murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah boleh menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding menggunakan kaedah yang biasa.

5.2: Kelemahan
i. Murid sudah biasa menggunakan kaedah lain seperti kaedah abjad akan menyebabkan berlakunya kekeliruan. Hal ini juga menjejaskan kebolehan murid tersebut dan terpaksa bermula semula.
ii. Murid sukar membezakan antara bunyi abjad dengan nama abjad.
iii. Sukar menyebut bunyi abjad tertentu dan mengganggu pembelajaran.
iv. Sukar mencari contoh perkataan yang sesuai dengan konsonan yang telah diajar.
v. Murid tidak memahami maksud perkataan yang telah dibina dan memerlukan penjelasan daripada guru. Murid-murid pemulihan khas sukar untuk memahami maksud perkataan dan memerlukan bahan maujud atau gambar untuk membantu penerangan. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid tidak mempunyai perbendaharaan yang cukup.

5.3: Dapatan-dapatan lain
i. Kemahiran-kemahiran asas bacaan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum murid dapat membaca frasa.
ii. Murid-murid lebih mudah memguasai kemahiran jika diajar secara individu berbanding secara kumpulan atau kelas.
iii. Lebih mudah mengajar murid-murid yang tidak tahu apa-apa daripada murid-murid yang telah menguasai beberapa kemahiran asas seperti mengeja dan membatang.
iv. Latih tubi adalah aspek yang perlu diutamakan.
v. Gabungan dengan kaedah bercerita banyak membantu penguasaan kemahiran dan ingatan murid-murid.

Penutup

Sebenarnya kajian mengajar menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi-kata di peringkat sekolah menengah belum lagi dijalankan. Apa yang dilakukan oleh penulis dalam menyediakan kertas kerja ini ialah pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas di sekolah penulis mengajar. Pada mula penulis mengajar menggunakan kaedah fonik tetapi kesannya begitu lambat dan mengambil masa. Selain itu juga, terlihat sikap murid-murid yang boring dengan apa yang diajar. Perkara ini lumrah kerana murid-murid terpaksa menghafal perkara yang sama iaitu abjad ‘a hingga z’ semenjak di sekolah rendah lagi.
Murid-murid juga mungkin berasa rendah diri kerana masih membaca ‘abc’. Dengan menggunakan KGBK kata ini murid-murid berasakan satu kelainan dan mereka sudah mampu untuk membaca buku cerita yang mudah. Keyakinan murid-murid dapat ditegarkan suapaya kemahiran asas ini dapat dikuasai.
Tuntasnya, penulis mendapati Kaedah Gabungan Bunyi-kata mampu mempercepatkan penguasaan kemahiran menulis murid pemulihan khas di sekolah menengah. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan murid-murid penulis yang kini mampu membaca dengan lancar buku cerita mudah termasuklah buku cerita yang mempunyai suku kata tertutup.
Penulis hanya mengajar lebih kurang tiga bulan; secara formal seminggu sekali dan pada masa pembelajaran biasa dalam kelas. Pembelajaran formal selama 40 minit dan melibat waktu khusus untuk murid-murid pemulihan khas sahaja. Manakala pembelajaran biasa dalam kelas adalah pengajaran pemulihan dalam kelas biasa di samping mengajar sukatan pelajaran biasa.
Oleh itu, keperluan untuk kajian terhadap keberkesanan KGBK kepada murid-murid pemulihan sekolah menengah perlu dilakukan. Hal ini penting untuk mendapat hasil kajian dan dapatan yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Sebenarnya di sekolah menengah banyak bilangan murid-murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca. Terutama untuk memenuhi tuntutan difinisi boleh membaca iaitu mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Selain itu yang memerlukan murid-murid memahami apa yang dibaca bukan setakat bunyi-bunyi abjad dan gabungan bunyi-bunyi abjad.