Halaman Utama

Tuesday, November 30, 2010

PENGAJARAN BACAAN AWAL

Pengajaran Bacaan Awal Bahasa Melayu Menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata Kepada Pelajar Pemulihan Khas Sekolah Menengah

Bila dikatakan ‘Sekolah Menengah’ bererti meliputi tingkatan satu hingga tingkatan enam dan ‘bacaan’ merupakan kemahiran yang terpenting, bukan sahaja terhadap kebolehan membaca itu sendiri, tetapi seterusnya untuk seluruh pembelajaran murid-murid itu. Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca ini merupakan sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang murid bukan saja pada masa persekolahan bahkan pada masa kehidupan dewasa murid-murid berkenaan.

Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadikan perkataan.

Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak.

Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun, 1989).

Pandangan daripada mazhab-mazhab ini mencetuskan kepada kaedah pengajaran awal asas membaca yang pelbagai di Malaysia. Antara kaedah yang telah digunakan di Malaysia ialah kaedah campuran, Kaedah DBP, Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum (PEBAS), Kaedah Atan Long, Kaedah cerakin, kaedah eklektik, kaedah abjad, dan Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK) . Kaedah-kaedah yang digunakan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh digunakan kepada murid-murid pemulihan khas.

Murid-murid pemulihan khas juga seorang individu dan anggota masyarakat. Jadi murid-murid ini juga memerlukan pendidikan asas termasuklah belajar membaca. Maka pemulihan khas bertujuan untuk memberi ‘rawatan’ yang diharapkan dapat ‘mengubati’ pelajar lambat ini (Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon, 1992). Seterusnya satu kaedah yang tepat perlulah dikenalpasti bagi mengatasi masalah ini. Penulis amat berminat dengan Kaedah Gabungan Bunyi Kata yang dirasakan begitu istimewa untuk mengajar murid-murid pemulihan khas membaca di peringkat sekolah menengah.

2. Kaedah Gabungan Bunyi-kata (KGBK)
2.1. Latar belakang

Kaedah Gabungan Bunyi-kata ini diilhamkan oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak Harun yang dinyatakan melalui pembentangan kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, pada 8 hingga 10 Disember 1979. Beliau telah memperkenalkan kaedah ini sebagai cadangan untuk mengatasi masalah membaca banyak murid di sekolah rendah, terutama di sekolah kebangsaan yang tidak boleh membaca. Rentetan itu kertas kerja tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, jilid 24 bil. 7, Julai 1980.

Kaedah ini turut dijadikan salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam buku panduan am, kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1981. Seterusnya kaedah ini telah dijadikan asas untuk panduan guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun Satu untuk sekolah SRKJ Cina dan SRKJ Tamil pada Jun 1981. Namun begitu, kaedah ini tidak digunakan di sekolah kebangsaan untuk mengajar bacaan asas pada Tahun Satu. Selain itu juga, kaedah KGBK digunakan oleh tadika swasta di Bandar-bandar seluruh Malaysia dengan menggunakan buku ‘Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia, Mari Membaca’ yang diterbitkan oleh Fajar Bakti (Isahak Harun, 2004).

2.2. Asas Kaedah Gabungan Bunyi-Kata
Kaedah ini merupakan satu kaedah yang sistematik. Menurut Isahak Harun (2004) perlunya mengambil kira perkara-perkara berikut;

2.2.1: Sistem ejaan Bahasa Melayu adalah ‘alphabetic’ dan fonemik . Hal ini menjelaskan
bahawa adanya hubungan yang rapat antara simbol atau huruf dan bunyinya. Hal
ini berbeza dengan sistem ejaan Bahasa Inggeris yang bercelaru.

2.2.2: Suku kata ejaan Bahasa Melayu adalah mudah dan jelas, jika dibandingkan dengan
bahasa-bahasa lain.

2.2.3: Murid-murid Melayu telah mempunyai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu
yang mencukupi untuk mereka belajar membaca dalam Bahasa Melayu. Begitu
juga dengan murid Cina dan India rakyat Malaysia yang sudah mempunyai
perbendaharaan kata Bahasa Melayu terutamanya diperingkat sekolah menengah.
Seterusnya hal ini menjelaskan bahawa tidak sesuai digunakan kaedah yang
digunakan mengajar bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris untuk mengajar bahasa
pertama yang berbeza.

Unsur membunyikan huruf dengan membina dan membaca perkataan boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Susunan bahan-bahan adalah secara ‘developmental’, kumulatif dan sistematik. Hal ini memudahkan guru-guru mengajar dan memudahkan murid belajar membaca dan menulis. Pendekatan gabungan dan susunan bahan secara kumulatif tidak mungkin berlaku dalam pendekatan abjad/ fonik, pendekatan seluruh perkataan atau pendekatan eklektik yang digunakan pada masa ini.

Gabungan mengenal bunyi huruf dengan membina-dan-membaca perkataan dalam satu atau dua pelajaran, dan murid terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Hal ini yang membezakan KGBK dengan kaedah-kaedah lain yang berpegang kepada dua mazhab utama awal membaca. Selain itu, KGBK dibina atas keistimewaan ejaan Bahasa Melayu yang fonemik dan sistematik dan suku kata yang jelas. Di samping itu juga, pemilihan susunan abjad yang diajar telah dikenalpasti melalui kajian yang menyeluruh berdasarkan kepada yang mudah, dekat dengan kanak-kanak dan tidak mengelirukan.

2.3: Ciri-ciri

2.3.1: Murid-murid tidak perlu diajar semua abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu
sebelum mereka boleh diajar membaca.

2.3.2: Menggabungkan kemahiran bunyi beberapa abjad, suku kata dan membaca
perkataan/ frasa/ ayat bermakna dalam satu atau dua pelajaran.

2.3.3: Gabungan dibuat secara sistematik, dan tiap-tiap pelajaran berikutnya beransur-
ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.

2.3.4: Kad imbasan amat diperlukan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti
yang disarankan.

2.3.5: Untuk peneguhan kemahiran murid-murid membaca mereka perlu diberi bahan-
bahan bacaan yang berperingkat-peringkat supaya mereka dapat melatih membaca
sendiri. Bahan-bahan bacaan yang sesuai perlu disediakan untuk murid-murid
sentiasa dekat dengan membaca.

3. Cara Mengajar Menggunakan KGBK
Kaedah Gabungan Bunyi Kata menyenaraikan beberapan abjad vokal dan konsonan yang perlu diajar mengikut tertibnya. Huruf vokal yang mula-mula diajar ialah

‘a i u’
dan susunan konsonan berikut;

b k c s t m n g l j h y f w q v z


Untuk menjelaskan kaedah ini, Isahak Harun (1979) menggariskan beberapa langkah berikut;

i. Mulakan dengan memperkenalkan bunyi tiga huruf vokal a, i dan u. Dengan menggunakan kad imbasan. Buat latihan membunyikan huruf itu beberapa kali, selang seli.

ii. Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya b, dan k. dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih tubi beberapa kali supaya murid dapat menyebutkan bunyi tiap-tiap simbol itu dengan jelas.

iii. Gabungan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata.

ba bi bu
da di du
ka ki ku

seterusnya bentukkan beberapa perkataan yang bermakna;

da da dada
ba ba baba
bu bu bubu
ku ku kuku

Ulang ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latih murid-murid membacanya:

dada baba
bubu baba
kuku baba



iv. Perkenalkan gabungan lain;

a da ada
a ku aku
ku da kuda
bu ku buku
bu ka buka

suruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas;

baba ada buku
baba ada kuda
baba ada bubu
baba buka buku

kemudian gantikan ‘baba’ dengan ‘aku’ dan ulang membacanya. Seterusnya baca ayat-ayat berikut;

kuda dia
kuda baba
kuda aku/ ku

Gantikan ‘kuda’ dengan ‘buku’, ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.

v. Perkenalkan gabungan bunyi lain seterusnya.

i bu ibu
bu di budi
u da uda
budi ibu
budi ibuku
budi uda
da a dia
ka ki kaki
kaki dia
kaki ibun
kaki kuda

suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunaka berbagai-bagai perkataan yang dicipta;

ibu buku buku uda
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda


vi. Seterusnya, bolehlah pula diperkenalkan bunyi konsonan yang lain mengikut susunan yang telah ditetapkan. Galakkan murid-murid mengenal sendiri perkataan-perkataan baru dengan membuat latih tubi.

vii. Akhir sekali bolehlah diperkenalkan bunyi gugusan dalam ejaan bahasa Melayu seperti;

ng bising, datang, sayang
nga nganga, singa
sy, sya syarat , syarikat
gh (gha) nyanyi, nyaring, punya


Selain itu, prinsip yang perlu diingati ketika menggunakan kaedah ini adalah;

i. Memperkenalkan terlebih dahulu vokal dan konsonan yang kerap digunakan dalam ejaan Bahasa Melayu, kemudian baru perkenalkan yang kurang digunakan. Hal ini bermakna tidak perlu memperkenalkan huruf dan bunyi mengikut susunan biasa dalam abjad (a-z).

ii. Susunan nama-nama huruf dan cara menulis huruf besar boleh dibuat secara tidak langsung kemudian.

iii. Tidak perlu memisah-misahkan dengan jauh dan jelas antara langkah mengajar bunyi huruf, bunyi suku kata dan sebutan perkataan. Boleh digabungkan dalam satu pelajaran.

iv. Memerlukan latihan membunyikan dan memandang huruf, suku kata dan perkataan tertulis. Dengan itu penggunaan kad imbasan dan papan hitam amat diperlukan.

v. Kaedah ini juga cuba untuk mengurangkan penggunaan gambar kerana mengganggu tumpuan murid membunyi dan memandang lambing-lambang bunyi, suku kata dan perkataan dengan cepat. Hal ini bertujuan supaya murid-murid mendapat kemahiran-kemahiran asas untuk membaca sendiri perkataan-perkataan baru dan seterusnya bahan-bahan bacaan secara berperingkat-peringkat.

vi. Latihan dan ulangan yang munasabah dan beragam amatlah penting untuk mengukuhkan kemahiran.

vii. Latihan menulis bolehlah dilakukan selepas tiap-tiap latihan membaca. Latihan menulis berdasarkan perkataan-perkataan yang dibaca supaya boleh meneguhkan kemahiran membaca.
4. Mengajar Menggunakan Kaedah KGBK Murid Pemulihan Khas di Sekolah
Menengah

Murid pemulihan khas sekolah menengah berbeza dengan kanak-kanak yang mula-mula belajar membaca. Pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas telah berjaya mengenalpasti perbezaan tersebut. Penulis telah menggunakan dua orang murid pemulihan khas untuk mengajar membaca. Oleh itu, guru perlu menyedari bahawa murid-murid sekolah menengah adalah berbeza daripada segi pendedahan kepada membaca.

Biasanya murid-murid di sekolah menengah telah belajar membaca dan semestinya terdedah kepada kaedah-kaedah awal membaca yang lain. Antara yang dikenalpasti aspek yang telah dikuasai oleh murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah adalah;

i. Sudah mengenal abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu ( a – z) sama ada semua atau sebilangan sahaja.
ii. Sudah boleh menyebut nama-nama abjad dalam sistem ejaan Bahasa Melayu.

iii. Sudah boleh menyebut bunyi abjad mudah dan biasa digunakan.
iv. Sudah boleh mengeja suku kata terbuka.
v. Sudah boleh membatang suku kata terbuka.

Didapati juga bahawa murid-murid yang tidak menguasai aspek-aspek di atas mempunyai masalah yang lain seperti terencat akal atau masalah-masalah kecacatan lain.

Aspek- aspek yang perlu disedari untuk mengajar membaca menggunakan KGBK di sekolah menengah adalah;

i. Murid akan mengeja suku kata atau perkataan yang dibaca dengan menyebut nama abjad. Guru perlulah membiasakan murid menyebut bunyi huruf bukannya nama abjad. Namun begitu, guru perlulah mengelakkan daripada terlalu banyak menegur murid dalam aspek ini dan lebih utama murid menguasai kemahiran. Dengan itu, guru boleh membiarkan sahaja murid membaca cara yang biasa kepada mereka.
ii. Murid akan terganggu dengan kaedah baru bagi mereka. Oleh itu, perlulah guru banyak menggunakan latih tubi untuk membiasakan mereka.
iii. Murid inginkan aktiviti menulis. Oleh itu, menulis boleh dijalankan untuk tujuan sebagai pengukuhan.
iv. Guru membantu membentuk perbendaharaan kata murid-murid kerana biasanya murid-murid pemulihan khas mempunyai perbendaharaan kata yang sedikit.

Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seseorang guru ialah menjalankan ujian diagnostik yang bertujuan untuk mengetahui tahap pencapaian sebenar murid. Ujian diagnostik kaedah ini telah dibina oleh Profesor Dato’ Dr. Isahak yang dibahagikan kepada 12 tahap. Tahap-tahap ini dibahagikan kepada tahap-tahap berdasarkan kepada penguasaan mengenal huruf, suku kata, perkataan dan frasa (rujuk lampiran A). Biasanya murid di sekolah menengah sudah menguasai beberapa tahap membaca. Setelah dikenalpasti tahap pencapaian barulah pengajaran sebenar dapat dlakukan.

5. Dapatan

5.1: Kekuatan
Penulis memilih KGBK kerana keistimewaan yang terdapat dalam kaedah ini yang dilihat dapat membantu murid-murid pemulihan khas untuk menguasai kemahiran membaca. Antara kekuatan dan keistimewaan kaedah ini adalah;

i. Sesuai dengan sistem ejaan Bahasa Melayu yang fonik dan suku kata yang jelas.
ii. Murid-murid tidak terbeban dengan menghafal abjad.
iii. Susunan bahan secara developmental, kumulatif dan sisitematik memudahkan guru mengajar dan murid belajar.
iv. Menarik minat dan tidak menjemukan kerana murid belajar bunyi huruf, suku kata, perkataan dan frasa dalam satu pelajaran.
v. Murid-murid tidak perlu mengeja dan membatang.
vi. Tidak memerlukan bahan Bantu mengajar yang banyak dan tidak susah untuk dibina. Bahan Bantu mengajar utama ialah kad imbasan dan papan hitam.
vii. Sesuai dengan murid pemulihan khas kerana tidak memerlukan hafalan.
viii. Menekankan aspek bahasa berirama yang menarik minat murid-murid.
ix. Boleh disesuaikan dengan lain-lain kaedah seperti kaedah bercerita.
x. Penggunaan ICT boleh digunakan dengan meluas dalam mengajar menggunakan kaedah ini.
xi. Murid-murid pemulihan khas di sekolah menengah boleh menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding menggunakan kaedah yang biasa.

5.2: Kelemahan
i. Murid sudah biasa menggunakan kaedah lain seperti kaedah abjad akan menyebabkan berlakunya kekeliruan. Hal ini juga menjejaskan kebolehan murid tersebut dan terpaksa bermula semula.
ii. Murid sukar membezakan antara bunyi abjad dengan nama abjad.
iii. Sukar menyebut bunyi abjad tertentu dan mengganggu pembelajaran.
iv. Sukar mencari contoh perkataan yang sesuai dengan konsonan yang telah diajar.
v. Murid tidak memahami maksud perkataan yang telah dibina dan memerlukan penjelasan daripada guru. Murid-murid pemulihan khas sukar untuk memahami maksud perkataan dan memerlukan bahan maujud atau gambar untuk membantu penerangan. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid tidak mempunyai perbendaharaan yang cukup.

5.3: Dapatan-dapatan lain
i. Kemahiran-kemahiran asas bacaan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum murid dapat membaca frasa.
ii. Murid-murid lebih mudah memguasai kemahiran jika diajar secara individu berbanding secara kumpulan atau kelas.
iii. Lebih mudah mengajar murid-murid yang tidak tahu apa-apa daripada murid-murid yang telah menguasai beberapa kemahiran asas seperti mengeja dan membatang.
iv. Latih tubi adalah aspek yang perlu diutamakan.
v. Gabungan dengan kaedah bercerita banyak membantu penguasaan kemahiran dan ingatan murid-murid.

Penutup

Sebenarnya kajian mengajar menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi-kata di peringkat sekolah menengah belum lagi dijalankan. Apa yang dilakukan oleh penulis dalam menyediakan kertas kerja ini ialah pengalaman penulis mengajar murid-murid pemulihan khas di sekolah penulis mengajar. Pada mula penulis mengajar menggunakan kaedah fonik tetapi kesannya begitu lambat dan mengambil masa. Selain itu juga, terlihat sikap murid-murid yang boring dengan apa yang diajar. Perkara ini lumrah kerana murid-murid terpaksa menghafal perkara yang sama iaitu abjad ‘a hingga z’ semenjak di sekolah rendah lagi.
Murid-murid juga mungkin berasa rendah diri kerana masih membaca ‘abc’. Dengan menggunakan KGBK kata ini murid-murid berasakan satu kelainan dan mereka sudah mampu untuk membaca buku cerita yang mudah. Keyakinan murid-murid dapat ditegarkan suapaya kemahiran asas ini dapat dikuasai.
Tuntasnya, penulis mendapati Kaedah Gabungan Bunyi-kata mampu mempercepatkan penguasaan kemahiran menulis murid pemulihan khas di sekolah menengah. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan murid-murid penulis yang kini mampu membaca dengan lancar buku cerita mudah termasuklah buku cerita yang mempunyai suku kata tertutup.
Penulis hanya mengajar lebih kurang tiga bulan; secara formal seminggu sekali dan pada masa pembelajaran biasa dalam kelas. Pembelajaran formal selama 40 minit dan melibat waktu khusus untuk murid-murid pemulihan khas sahaja. Manakala pembelajaran biasa dalam kelas adalah pengajaran pemulihan dalam kelas biasa di samping mengajar sukatan pelajaran biasa.
Oleh itu, keperluan untuk kajian terhadap keberkesanan KGBK kepada murid-murid pemulihan sekolah menengah perlu dilakukan. Hal ini penting untuk mendapat hasil kajian dan dapatan yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Sebenarnya di sekolah menengah banyak bilangan murid-murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca. Terutama untuk memenuhi tuntutan difinisi boleh membaca iaitu mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Selain itu yang memerlukan murid-murid memahami apa yang dibaca bukan setakat bunyi-bunyi abjad dan gabungan bunyi-bunyi abjad.